KUCHING: Tindakan seorang wanita membawa bagasi milik rakannya dari Kuala Lumpur ke Sarawak menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) mengundang padah, apabila beliau ditahan setelah dadah jenis ganja ditemukan di dalam bagasi berkenaan.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak Herman Shah Abdullah berkata, wanita berumur 27 tahun yang bekerja sebagai ejen insurans separuh masa itu, ditahan Unit Khas Pemeriksaan Penumpang JKDM di LTAK Rabu lepas, setelah ganja itu ditemukan dalam bagasi berkenaan.

"Hasil imbasan menunjukkan imej mencurigakan dan pemeriksaan rapi ke atas bagasi dilakukan membawa kepada penemuan 18 bungkusan dibaluti kertas pembalut hadiah dan kertas karbon, mengandungi daun tumbuhan mampat disyaki ganja," katanya dalam sidang media di sini.

Menurutnya kesemua dadah itu dianggarkan seberat 18.264 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM45,660, dan suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Beliau tidak menolak kemungkinan wanita berkenaan mempunyai kaitan dengan penemuan 18.692 kg dadah disyaki ganja bernilai kira-kira RM46,730 Sabtu lepas, di dalam sebuah bagasi yang tidak dituntut lebih sebulan lalu di LTAK.

Herman Shah berkata, bagasi itu dibawa masuk menerusi sebuah penerbangan domestik dari Kuala Lumpur pada 2 April lepas dan menerusi maklumat yang diperolehi, bagasi itu didaftarkan atas nama seorang penumpang yang telah menjalani kuarantin, sebaik tiba di sini pada hari berkenaan.

"Bagasi itu telah disita untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pengesanan terhadap pemilik bagasi itu berdasarkan rekod syarikat penerbangan akan dijalankan, dan pihak JKDM percaya tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya.

-- BERNAMA